ARTIKEL

Sufian Suhaimi Cabar Diri, Jadi Coach The Chosen One

Oleh Khadijah Ibrahim

PENYANYI Sufian Suhaimi, 32, mengakui rasa teruja apabila ditawar untuk menjadi coach atau jurulatih kepada bakat-bakat generasi baharu dalam program The Chosen One 2024 yang akan bermula pada 20 September ini.

Untuk program musim kedua yang akan ke udara setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Ceria, Sufian menjadi coach kepada Hazrieq Fikri atau Eriq Fikri, 13, dari Kuala Lumpur dan Alif Irhan yang nama penuhnya, Muhammad Nur Alif Irhan, 11, dari Simpang Pertang, Negeri Sembilan.

Barisan coach bersama hos(Haziq Hussni), Jaclyn Victor (juri tetap) dan Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, Putri Yasmin Megat Zaharuddin (baju biru).

Sufian yang popular dengan lagu Terakhir itu berkata, ini adalah kali pertama beliau menyertai program realiti dan ia berbeza dengan pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) yang pernah disertainya sebelum ini.

“Ini kali pertama saya sertai pertandingan dan kalau ada pun macam pentas AJL tapi untuk pertandingan setiap minggu belum pernah sertai lagi. Apabila dapat tawaran sebagai coach untuk The Chosen One ini, saya rasa seronok.

“Ini pertandingan yang saya boleh sertai untuk lihat flow pertandingan itu macam mana kerana saya tak ada pengalaman itu. Macam mana kita punya persiapan setiap minggu, kira satu pengalaman baik juga untuk saya. Itu antara sebab kenapa saya setuju untuk jadi coach,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.

Sufian bersama dua anak didik, Eriq Fikri (kiri) dan Alif Irhan.

Selain Sufian, artis lain yang dipilih menjadi jurulatih untuk 16 peserta program ini adalah Tomok, Aepul Roza, Amir Jahari, Suki Low, Adira Suhaimi, Wany Hasrita dan Firdaus Rahmat bersama kembarnya, Fahmi Rahmat.

Jelas Sufian, sebelum membuat pilihan ‘anak didik’ setiap jurulatih perlu menonton video uji bakat peserta dan dari situ pemilihan dibuat.

“Pemilihan anak buah ini, kita dipertonton semua uji bakat adik-adik itu, ada lebih kurang 20 hingga 30 orang. Setiap orang kena pilih Top 5 dan kemudian pilih Top 2 yang akan jadi anak didik masing-masing.

“Pilihan Top 1 saya sama dengan Adira Suhaimi. Kami berdua dipanggil selepas pemilihan itu dan bermulalah perebutan anak buah itu, akhirnya Adira yang dapat. Lepas saya pilih dua orang iaitu Eric dan Alif, saya lihat mereka ada kualiti yang unik.

“Sebenarnya semua yang datang ini boleh menyanyi dan masing-masing ada kekuatan dan keunikan tersendiri. Walaupun masing-masing boleh menyanyi tapi disebabkan mereka masih muda dan tak banyak pengalaman, nyanyian agak goyah.

“Itu semua boleh diatasi tapi saya rasa cabaran paling besar bila setiap coach kena bersaing dengan coach yang lain, masing-masing pemenang pula, sedangkan saya ni ‘orang baharu’ dalam bidang ini. Apapun saya dan team akan cuba buat yang terbaik untuk program ini,” akuinya.

Kata Sufian, beliau lebih suka mengambil pendekatan sebagai kawan kepada Eric dan Alif untuk mendidik mereka setiap minggu.

“Saya mengambil pendekatan lebih sebagai kawan mereka dan bukan meletakkan diri saya sebagai aku abang dan perlu dengar cakap aku. Saya cuba dengar apa yang mereka suka dulu kerana bagi saya seni ini melibatkan jiwa.

“Sebab itulah saya perlu tengok apa yang ada dalam diri mereka, kemudian baru boleh gabungkan dengan apa yang saya ada. Saya akan gunakan kekuatan yang mereka miliki dan cuba gilap sikit untuk menunjukkan yang mereka adalah The Chosen One, insya-Allah,” jelas Sufian.

Tegasnya, selepas bersetuju menjadi coach untuk peserta The Chosen One, jadualnya semakin padat kerana dalam tempoh seminggu itu banyak latihan yang perlu dilakukan,” katanya.

Pertandingan Sufian Suhaimi The Chosen One trending viral

0%