ARTIKEL

Marsha Milan Enggan Ubah Gaya Nyanyian Di DFP

Oleh Asraf Aided

PENYANYI Marsha Milan enggan mengubah cara nyanyiannya kepada notasi yang lebih rendah apabila membuat persembahan bersama rakan artis, Velvet Aduk dan Alena Murang untuk konsert Sounds of Borneo di Dewan Filharmonik Petronas, pada 7 September nanti.

Marsha yang sinonim dengan lontaran vokal tinggi ketika membuat persembahan, berkata dia lebih selesa untuk menyanyi mengikut tuntutan asal sesebuah lagu itu.

“Saya akan muncul dengan cara nyanyian saya, seadanya. Lagipun lagu-lagu ciptaan Velvet juga memang bernada tinggi.

“Cuma untuk konsert khas ini, kami akan serlahkan lebih elemen Borneo kerana itulah temanya.

“Saya rasa, ramai orang Sabah suka menyanyi dengan range yang tinggi. Insya-Allah kami akan usaha melakukan yang terbaik untuk konsert ini nanti,” katanya kepada Team Showbiz Suria.

Marsha ditemui pada sidang media konsert Sounds of Borneo di Traders Hotel Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebelum ini, Marsha dan Velvet pernah muncul bekerjasama untuk lagu-lagu duet berunsur etnik Sabah seperti Sumandak Sabah, Insan Tadau, Aramaitiii dan Oi Gaman.

Lagu Sumandak Sabah yang dilancarkan sekitar enam tahun lalu ternyata mendapat sambutan hangat daripada peminat, sekali gus memberikan impak positif terhadap karier mereka berdua.

“Sejak melancarkan lagu Sumandak Sabah, kami sangat gembira melihat sambutan menggalakkan daripada pendengar. Alhamdulillah, selepas lagu itu menjadi tular, banyak juga undangan persembahan yang kami terima ketika itu.

“Saya harap usaha kami memartabatkan lagu etnik Sabah dan seterusnya bekerjasama dalam konsert Sounds of Borneo ini dapat memberi lebih pendedahan tentang muzik Borneo kepada peminat di Semenanjung,” katanya lagi.

Marsha bersama Velvet dan Alena Murang.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan ketika konsert itu nanti adalah Sumandak Sabah, Gitu’an, Insan Tadau, Panaon dan Bejugit Betanda Menari.

Alena Murang pula akan mengalukan melodi indah menggunakan Sape (alatan muzik Sarawak). Pemain Sape terkenal ini semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui pelbagai kemenangan untuk video muzik dan filem etnik.

Tiket boleh didapati pada harga RM158 hingga RM288. Tempahan boleh dibuat menerusi boxoffice@dfp.com.my.

DFP Konsert DFP Marsha Milan Penyanyi trending viral

0%