SEBELUM memilih untuk menceburkan diri dalam dunia politik, Baddrol Bakhtiar pernah menjadi pemain paling disayangi penyokong Kedah selepas bertahun-tahun yang dihabiskan di kelab itu.
Sepanjang tempoh berkenaan, pemain tengah tersebut menjadi antara kapten paling berpengaruh dalam sejarah kelab dengan kelibatnya sangat disenangi peminat Hijau Kuning.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba, bintang kelahiran Sarawak itu memilih untuk meninggalkan skuad Sang Kenari pada 2021 untuk menyertai Sabah FC dengan perpindahan itu jelas menggemparkan arena bola sepak tanah air.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
“Saya fikir saya mahu balas semula jasa jurulatih, iaitu Datuk Ong yang banyak membantu saya sebelum ini. Ini kerana ketika kami bersama dalam skuad kebangsaan, kami mempunyai pelbagai persefahaman.
“Jadi, pada 2022, dia menghubungi saya untuk meminta membantunya menaikkan semula Sabah. Dia telefon saya dan menceritakan bagaimana dia mahu mencari angin baharu di Sabah. Dia juga sempat bertanya adakah saya mahu mengikutinya? Tetapi, saya meminta masa untuk berfikir.
“Tiga hari kemudian, dia hubungi saya lagi dan berkata ‘Tolonglah saya’. Ayat itu menjadikan saya mahu membantunya, namun saya meminta masa tiga bulan untuk membuat keputusan,” katanya.
Jelasnya lagi, Kim Swee juga menegaskan sekiranya Baddrol tidak beraksi buat skuad Sang Badak, dia juga tidak akan berhijrah ke kelab itu yang sekali gus membuatkan pemain tersebut memeterai perpindahan berkenaan.
Baddrol (kiri) dan Rizal menjadi watak penting skuad Sang Badak selama dua musim mereka bersama. — Facebook/Sabah FC
Kedua-dua figura bola sepak negara itu pernah berkali-kali bergandingan dalam skuad kebangsaan, termasuk dalam saingan Sukan Asia yang mencetuskan persefahaman kukuh antara satu sama lain.
Jadi, hubungan itu membuatkan Baddrol turut terbuka untuk berkelana dan meninggalkan negeri kesayangannya tersebut meskipun pada awalnya penyokong sukar menerima hakikat terbabit.
Dalam pada itu, bekas pemain negara tersebut turut menceritakan bagaimana dia turut mengajak Rizal Ghazali ke Sabah FC dengan keakraban mereka di dalam dan di luar padang memudahkan urusan tersebut.
“Saya tanya Rizal, adakah dia mahu ikut saya ke Sabah dan dia menjawab ‘Jom’. Saya menegaskan ia bukanlah satu paksaan, tetapi saya hanya mengingatkan bahawa penghijrahan itu dibuat berdasarkan niat untuk membantu Kim Swee.
Dari kiri: Baddrol, Kim Swee dan Rizal ketika sesi rundingan lanjutan kontrak kedua-dua pemain. — Instagram/Rizal Ghazali
“Saya fikir dia hanya bergurau, rupanya betul dia turut berpindah. Saya ingatkan bahawa ia bukanlah disebabkan gaji kerana apa yang ditawar tidaklah begitu berbeza,” katanya.
Kehadiran Baddrol dan Rizal dalam skuad Sang Badak ketika itu menyaksikan mereka menamatkan penantian untuk layak ke Asia selepas berjaya menamatkan kempen Liga Super 2022 di tangga ketiga.
Namun, pada musim berikutnya, kapten Sabah FC itu bertindak mengumumkan bahawa dia memilih untuk menceburi bidang politik dan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah.
Pemergiannya itu disusuli keputusan Rizal Ghazali untuk kembali menyertai Kedah pada awal musim 2024/25 sebelum Kim Swee turut meninggalkan kelab terbabit dan menyertai Persis Solo di Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram