ARTIKEL

Nurul Izzah Nasihat Pempengaruh Menabung Untuk Masa Depan

Oleh Asraf Aided

PENGERUSI Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI), Nurul Izzah Anwar, berpendapat golongan pempengaruh perlu membuat perancangan rapi untuk masa depan mereka.

Nurul Izzah berkata, sektor pekerjaan baharu dalam dunia digital perlu diteliti dengan sebaiknya kerana orang ramai masih tidak tahu ia akan menjadi fenomena jangka masa panjang atau sebaliknya.

“Pembentukan sektor pekerjaan baharu seperti pempengaruh dalam bidang digital harus kita teliti sama ada ia akan menjadi fenomena yang sementara atau berpanjangan.

“Oleh itu, golongan pempengaruh harus sentiasa membuat persediaan dengan menabung dan membuat caruman demi kelangsungan hidup pada masa depan,” katanya yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Nurul Izzah berkata demikian kepada Team Showbiz Suria ketika ditemui di majlis pelancaran platform digital Influenstar di Kuala Lumpur semalam.

Beliau hadir menyempurnakan acara pelancaran dan disaksikan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim; Pegawai Tugas-Tugas Khas 1, Menteri Wilayah Persekutuan, Sivamalar Genapathy; Pengerusi Jemz Group, Farahida Dato’ Sri Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif Jemz Group dan pengasas Influenstar Asia Dot Com, Jemizan Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Influenstar Asia Dot Com, Nadia Janu serta Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios, Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian.

Influenstar Asia merupakan sebuah platform digital GIG untuk pempengaruh tempatan terbaharu di bawah pengurusan Jemz Group International Sdn Bhd.

Platform ini bertujuan untuk menyokong industri GIG negara melalui segmen pempengaruh dengan membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada pempengaruh, terutamanya yang bergerak secara individu.

Majlis pelancaran berlangsung dengan jayanya.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran, Influenstar Asia Dot Com turut memperkenalkan Jazmine – pempengaruh Maya pertama di Malaysia hasil kerjasama dengan Warnakala Studios, pemilik harta intelek (IP) Didi & Friends dan Makania.

Single pertama Jazmine juga turut dilancarkan dan video muziknya yang berjudul In The Zone yang digubah oleh JD Wong dari kumpulan Pop Shuvit.

Jazmine adalah pempengaruh era digital yang bukan sahaja berfungsi sebagai pempengaruh maya tetapi juga sebagai penentu arah aliran industri selaras dengan motto Influenstar Asia Dot Com iaitu Let’s Influence the Future.

Dengan sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI), Jazmine direka untuk mentakrifkan semula cara jenama dan khalayak berinteraksi seperti membuat ulasan produk, perkhidmatan dan acara dalam atmosfera digital. Sebagai salah satu pempengaruh di bawah Influenstar Asia Dot Com, Jazmine akan memimpin kempen inovatif dengan mencipta kandungan yang relevan untuk generasi digital.

Nurul Izzah & Nadia Janu

Dalam pada itu, Nurul Izzah sempat menjawab pertanyaan lain mengenai perkembangan teknologi AI.

Katanya, beliau mengalu-alukan kewujudan pempengaruh maya hasil ciptaan AI bagi mengimbangi pempengaruh di kalangan manusia.

“Kita mungkin sudah terbiasa dengan pempengaruh manusia, jadi kewujudan pempengaruh AI dapat menjadi satu lagi alternatif kepada platform media sosial. Kita tidak boleh menghalang teknologi daripada terus berkembang dan seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin agar kita menjadi sebuah masyarakat Madani,” jelasnya.

Nurul Izzah turut memuji usaha Influenstar Asia mewujudkan platform terkini dalam menguruskan barisan pempengaruh di Malaysia kerana ia lebih sistematik serta dapat menjaminkan kandungan yang berkualiti dan memberikan pelbagai faedah kepada pempengaruh itu sendiri.

Influenstar Asia Influenstar Dot Com JAZMINE

0%